Susulan pengumuman kolaborasi sebelum ini bersama Astro Ocean Cruise, Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan butiran lanjut mengenai M/V Piano Land, kapal persiaran pertama dari China yang akan berpengkalan di Malaysia, dengan pelayaran sulung dijadualkan pada 29 November 2025.

Kemunculan sulung ini bertepatan dengan Pameran MATTA Muslim-Friendly Travel Fair (MFTF) 2025, di mana Hwajing tampil sebagai Rakan Rasmi Kapal Persiaran. Kolaborasi ini menyerlahkan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh sebagai hab pelancongan kapal persiaran serantau serta peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim berorientasikan keluarga, selari dengan saranan MATTA untuk meletakkan negara ini di barisan hadapan pelancongan inklusif.
“Malaysia kini melangkah lebih jauh dalam pelancongan mesra Muslim yang merentasi sempadan lautan,” ujar Kenny Cheong, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours. “Kami membuktikan bahawa pelayaran mewah M/V Piano Land mampu menawarkan pengalaman yang mematuhi nilai-nilai halal serta meraikan kepelbagaian budaya. Ia mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menyambut pelancong dari pelbagai latar belakang dengan penuh tradisi dan kemesraan.”
Direka Khas Mesra Muslim
Selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keterangkuman dan kecemerlangan halal, semua ruang dan peralatan dapur di dalam kapal persiaran ini diperakui halal. Para penumpang dapat menikmati pelbagai pilihan sajian tempatan dan antarabangsa yang disediakan mengikut piawaian halal. Ini termasuk itik panggang gaya Hong Kong (halal) yang menjadi sajian istimewa, agar semua penumpang dapat merasai keenakan hidangan terkenal ini.
Kemudahan ruang solat mesra pengguna serta program berorientasikan keluarga turut memastikan pengalaman yang selesa untuk tetamu daripada pelbagai peringkat umur. Daripada sajian halal dan ruang solat yang selesa hinggalah ke kelab kanak-kanak dan persembahan malam, M/V Piano Land direka khas dengan konsep hospitaliti mesra Muslim.
Pelancaran M/V Piano Land melengkapi usaha berterusan Malaysia untuk memenuhi permintaan segmen pelancongan mesra Muslim yang berkembang pesat dengan nilai pasaran disasarkan melebihi USD 300 bilion menjelang 2030. Dengan sokongan MATTA dan rakan-rakan strategik, kolaborasi antara Hwajing dan Astro Ocean Cruise ini mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk menawarkan pengalaman bertaraf dunia yang menghormati kepelbagaian nilai budaya dalam kalangan pelancong Muslim moden.

Dari kiri: Ishak Othman (Ketua Pembangunan Perniagaan Islamik, RHB Islamic Bank Berhad), Anis Rozalina Ramli (Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat, Islamic Tourism Centre), Nigel Wong (Presiden MATTA), Dr. Fazil Khan (Pengerusi Penganjuran, MATTA Muslim Friendly Travel fair), Christopher Ma (Pengarah Jualan, Astro Ocean Cruise)
“Kolaborasi ini bukan sekadar memperluas pilihan pelayaran, tetapi turut memperkukuh identiti Malaysia sebagai negara yang meraikan kepelbagaian, menjunjung integriti halal sertamenerajui rantau ini dalam pelancongan mesra Muslim,” kata Jian-feng Tong, Naib Presiden Astro Ocean Cruise.
Pameran MATTA Muslim-Friendly Travel Fair (MFTF) 2025 anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober ini di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Inisiatif terbaharu itu menandakan komitmen MATTA terhadap keterangkuman dan inovasi dalam industri pelancongan sekali gus memberi tumpuan kepada segmen pelancongan mesra Muslim yang sedang pesat berkembang.
#HwajingTravel #CruisewithHwajing #ExperienceHwajing
Source: Mingguan Wanita